Sale!

Teman Seumur Hidup

RM35.00 RM32.00

Penulis: Fizziany

Out of stock

Categories: ,

Description

Ini kisah cinta terhalang. Kisah klise, cinta antara 2 darjat di antara Hadif Zafran, anak seorang ahli perniagaan dengan Nurul Jannah, anak orang gaji di rumahnya.

Hadif dan Jannah. Mereka membesar bersama-sama. Bersekolah sama-sama. Buat apapun sama-sama. Cuma, sejak terpandangkan Jannah menyepak bola dengan berbaju kurung, berkasut Snikers, hati Hadif rasa macam ada rama-rama setiap kali memandang gadis itu. Usia remaja mereka dimulakan dengan indah. Hubungan mereka yang semakin erat, mula disedari oleh Tan Sri Hisham.

Lalu, Tan Sri Hisham mengambil jalan pintas. Hadif dihantar ke luar negara untuk belajar. Pelbagai alasan dicipta demi menjarakkan hubungan Hadif dan Jannah, dengan harapan bila masa jadi halangan, bunga-bunga cinta yang baru hendak mekar, akan terus hilang ditelan angin masa. Masa berubah. Manusia pun berubah.

Selepas 8 tahun, Hadif pulang juga ke Malaysia. Pertemuan pertama dengan Jannah, memercikkan kembali api cinta dalam hati Hadif. Jannah sudah jauh berubah daripada apa yang dia bayangkan. Mereka kembali berkawan, bergelak ketawa, saling berkongsi cerita seperti masa silam. Cuma, kali ini rasa cinta itu lebih hebat.

Tan Sri Hisham bertindak drastik. Sebelum Hadif dan Jannah hanyut, dia mahu segera menyelamatkan Hadif. Dia tidak mahu anak orang gaji menjadi menantunya.

Keluarga Jannah diberhentikan kerja serta-merta, dihalau dari rumah itu dan Jannah dilarang berhubung dengan Hadif walau apa cara sekalipun. Bapa Jannah, Pak Jamil merasa terhina, terkilan dan kecewa kerana tidak menyangka usaha dan jasa baiknya berkhidmat dengan keluarga itu dipersia. Dengan rajuk dan luka yang dalam, mereka sekeluarga lari bersembunyi.

Namun, Hadif yang degil, pergi mencari Jannah. Usahanya berhasil. Saat dia bertemu Jannah, keluarga Jannah menghalaunya pula. Dalam diam-diam, Hadif mengajak Jannah berbincang di suatu tempat demi cinta mereka. Namun, malang menimpa apabila mereka diculik dan dibawa ke sempadan Thailand. Hadif dan Jannah diarah bunuh oleh seseorang.

Dalam peristiwa itu, Hadif pengsan kerana menyangka Jannah sudah ditembak. Apabila tersedar, Hadif berubah laku menjadi murung. Tan Sri Hisham mula sedar akan kesilapan diri, berusaha untuk merubah keadaan. Usaha dibuat agar Hadif pulih.

Berita tentang Jannah diperolehi. Hadif kembali segar, lalu nekad akan mencari Jannah. Dia bersumpah, takkan pulang tanpa membawa Jannah pulang. Maka kembara Hadif pun bermula ke Thailand, ditemani seorang pengawal bernama Sarbani.

Namun, cerita Jannah berbeza. Dia yang terlepas daripada bahaya, diselamatkan oleh seorang doktor muda. Doktor Azlan, lelaki warganegara Thailand yang mahir berbahasa Melayu kerana ibunya orang Kelantan. Selepas Jannah dirawat, Doktor Azlan menghantar Jannah pulang ke pangkuan keluarganya di Malaysia.

Tertarik dengan peribadi doktor muda tersebut, dan demi mengelakkan Hadif datang mengacau Jannah lagi, Pak Jamil menjodohkan Jannah dengan Doktor Azlan meskipun tanpa kerelaan Jannah. Kad undangan perkahwinan dihantar kepada Tan Sri Hisham sebagai tanda dendam.

Siapa dalang di sebalik penculikan dan cubaan membunuh Hadif dan Jannah?

Apa reaksi Hadif apabila mengetahui Jannah sudah ada di Malaysia dan bersiap sedia untuk berkahwin?

Apakah Jannah akan melepaskan cintanya terhadap Hadif? Sedangkan Doktor Azlan tak putus-putus mencurah cinta baru?

Apakah Jannah dan Hadif boleh melupakan semua kenangan cinta antara mereka selama ini dengan mudah?

Kena baca, baru tahu.